Nazri Abu Bakar


Melaka: Lebih 50,000 pengunjung mengunjungi Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini, selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Ia sekali gus mengatasi sasaran 45,000 pengunjung oleh kerajaan Melaka menerusi sambutan luar jangkaan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di bandar raya berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sambutan diterima amat membanggakan sekali gus membolehkan karnival sama akan diadakan pada tahun hadapan.

Menurutnya, ia bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) walaupun kebiasaannya diadakan dua tahun sekali.

Katanya, KUAM 2023 membabitkan pertunjukan 41 pesawat pelbagai saiz termasuk tujuh badan beruniform, 27 pesawat kecil dari kelab penerbangan, enam paramotor dan satu pesawat microlight.

"Apa yang pasti orang ramai sanggup berjalan jauh berkilometer untuk menyaksikan KUAM 2023 selain meletakkan kenderaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dengan menaiki bas yang disediakan.

"Justeru, kita akan membuat penambahbaikan termasuk membuat jualan tiket secara online dalam usaha mengelak kesesakan dan menambah bilangan pameran dan jemputan antarabangsa yang lebih hebat bagi KUAM 2024," katanya.

Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmian oleh Ketua Menteri Melaka yang diwakili Abd Razak berkata, Melaka menerima kehadiran 6.043 juta pelancong pada 2022 berbanding 2.665 juta pada tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, ia menunjukkan peningkatan 3.378 juta atau 126.76 peratus pelancong dengan 5.637 juta atau 93.27 peratus terdiri daripada pelancong domestik, manakala 406,517 atau 6.73 peratus adalah pelancong asing.

Katanya, pelbagai inisiatif disusun dan dirancang bagi TMM 2024 termasuk mempergiat usaha mempromosikan sektor pelancongan sepanjang tahun ini selain memperindah serta menaik taraf produk-produk pelancongan selain mewujudkan pelbagai pakej pembangunan pelancongan.

"Kerajaan negeri Melaka juga mempraktikkan dasar 'mesra pelabur' dan mengalu-alukan segala cadangan bagi memperluas pelaburan termasuk pelaburan dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan penerbangan ini," katanya.

Sepanjang penganjuran KUAM 2023, pelbagai pengisian acara diadakan seperti pertunjukan payung terjun, persembahan aerobatik pesawat, pameran kerjaya badan beruniform dan akademi penerbangan.

Selain itu, turut diadakan ialah perkhidmatan joyride dengan pesawat Heli Bell 407GX, aktiviti simulator dari Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), sesi taklimat kerjaya penerbangan, pertandingan fotografi, pertandingan TikTok dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 4:23 PM
Mohd Ali bersama bersama para penerjun yang mengambil bahagian dalam pertunjukan payung terjun sempena Majlis Perasmian KUAM 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dekat Batu Berendam. FOTO JAMAH NASRI
Mohd Ali bersama bersama para penerjun yang mengambil bahagian dalam pertunjukan payung terjun sempena Majlis Perasmian KUAM 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dekat Batu Berendam. FOTO JAMAH NASRI