MOHD Ali (kanan) diiringi Rahmad bertanya khabar penerima vaksin semasa melawat PPV Dewan Tun Ali, hari ini. FOTO Amir Mamat
MOHD Ali (kanan) diiringi Rahmad bertanya khabar penerima vaksin semasa melawat PPV Dewan Tun Ali, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

Melaka: Lapan lagi pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka di Melaka dalam usaha melancarkan program pemberian vaksinasi kepada rakyat di negeri itu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia bagi mengatasi kesesakan di PPV sedia ada, di samping mengurangkan masa menunggu orang ramai untuk menerima vaksin.

Beliau berkata, lokasi PPV tambahan itu termasuk di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek, Sungai Udang dan Klebang, selain Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Dewan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Bukit Beruang, di sini.

"Penambahan itu menjadikan Melaka kini mempunyai 16 PPV.

"Saya yakin langkah itu mampu mengatasi masalah kesesakan yang sering berlaku di beberapa PPV di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Yang di-Pertua negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ke PPV Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini hari ini.

Lawatan terbabit sempena setahun pelantikan Mohd Ali sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ismail Ali.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khasnya hari ini, memaklumkan kerajaan akan berusaha mempercepat dan mempermudahkan proses pemberian vaksin bagi memastikan sasaran imuniti kelompok tercapai.

Selain itu, Rahmad berkata, kerajaan turut bersetuju untuk mewujudkan kaedah pemberian vaksinasi secara pandu lalu dengan PPV Dewan Tun Ali sebagai lokasi pertama pelaksanaannya.

Bagaimanapun, katanya, kaedah itu hanya akan membabitkan penerima bagi dos kedua.

"Jabatan Kesihatan negeri dalam proses akhir perbincangan dan ia (vaksinasi pandu lalu) dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Jadi, saya menasihatkan orang ramai supaya memenuhi temu janji yang ditetapkan bagi mengelakkan kesukaran serta kelewatan penerimaan vaksin pada masa akan datang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 3:24 PM