Siti Rohana Idris


Tumpat: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi tidak menafikan isu pernikahannya yang tular baru-baru ini bertujuan menjatuhkannya.

Che Abdullah menyifatkan penularan isu itu menerusi laman sosial berpunca daripada sebelah pihak yang mempunyai motif tertentu termasuk menjatuhkannya.

"Saya nak komen tapi dinasihatkan oleh peguam agar tidak membuat apa-apa kenyataan dan menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tanpa mengetahui kesahihan.

"Apa yang saya boleh nyatakan adalah segala yang tular itu sama ada menerusi WhatsApp atau Telegram, ia daripada sebelah pihak yang mungkin ada motif tersendiri, mungkin untuk menjatuhkan saya," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tumpat di sini, hari ini.

CHE Abdullah memeriksa bakul makanan untuk diagihkan untuk kepada rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tumpat di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Abdullah memeriksa bakul makanan untuk diagihkan untuk kepada rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tumpat di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Baru-baru ini tular pernikahan beliau berserta rakaman video akad nikahnya yang dilakukan secara atas talian oleh jurunikah Thailand.

Terdahulu, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat hadir menyampaikan sumbangan peruntukan sebanyak RM544,000 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di bawah Parlimen Tumpat masing-masing menerima RM100,000 manakala selebihnya dibahagikan kepada 70 penghulu di daerah terbabit.

Beliau berkata, menerusi peruntukan di bawah Pemulih, setiap parlimen menerima RM300,000 namun beliau membuat tambahan sebanyak RM144,000 untuk agihan kepada penghulu.

"Tambahan RM144,000 itu akan diberikan dalam bentuk bakul makanan dan kita harapkan ia dapat memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 11:34 AM