ABDUL Latif.
ABDUL Latif.
Muhaamad Hafis NawawiMohamed Farid NohZuhainy ZulkiffliAizat SharifAhmad Rabiul ZulkifliRosli Ilham dan Nuraliawati Sabri


Kuala Lumpur: Pengumuman kerajaan menerusi pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) disambut baik semua agensi kerajaan yang kini menggerakkan Bantuan Bakul Makanan bagi membantu golongan sasaran yang memerlukan.

Komitmen berkenaan ditunjukkan beberapa kementerian menerusi agensinya yang kini giat menghulurkan sumbangan berkenaan antaranya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang komited memastikan Pemulih memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli menerusi Bantuan Khas Covid- 19 (BKC).

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, ia merangkumi program Bantuan Bakul Makanan disalurkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang memberi manfaat kepada lebih 62,000 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli seluruh negeri di Semenanjung.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri lawatan program suntikan vaksin Covid-19 di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing, Johor, baru-baru ini.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasar membantu 10,000 keluarga B40 yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 bagi meneruskan kelangsungan hidup menerusi program Bakul Prihatin.

Ketua Srikandi Bersatu itu berkata, program berkenaan dilancarkan pada 4 Jun lalu menerima 151,000 permohonan dalam tempoh 24 jam ia diuar-uarkan.

"Ini menunjukkan ramai yang memerlukan bantuan dari segi makanan asas. Daripada sasaran 10,000 kita tingkatkan kepada 15,000 Bakul Prihatin untuk fasa pertama.

"Penduduk yang terputus bekalan makanan dan keperluan asas juga diminta segera menghubungi Pusat Khidmat Wakil Rakyat di kawasan Parlimen masing-masing bagi mendapatkan bantuan," katanya selepas program sumbangan berkenaan di Sepang.

Beliau berkata, kerajaan sudah menyalurkan peruntukan RM300,000 bagi setiap kawasan Parlimen melalui Pemulih termasuk di kawasan Parlimen yang kerusinya kini kosong.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman Pemulih sudah menyebutkan peruntukan sebanyak RM300,000 akan diberikan kepada setiap Ahli Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 9:40 AM