Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) melihat barangan sumbangan yang akan diagihkan kepada penduduk pada majlis Sumbangan Makanan Basah dan Bakul Prihatin kepada Penghulu-Penghulu di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) melihat barangan sumbangan yang akan diagihkan kepada penduduk pada majlis Sumbangan Makanan Basah dan Bakul Prihatin kepada Penghulu-Penghulu di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Individu yang namanya tercicir daripada senarai penerima bantuan Bakul Prihatin Negara diminta segera menghubungi pemimpin masyarakat atau wakil rakyat masing-masing bagi membolehkan bantuan dihantar secepat mungkin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program bantuan itu adalah nilai tambah kepada program Bantuan Bakul Makanan yang digerakkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak pandemik melanda, bagi membantu mereka yang terkesan tanpa mengira batas kaum dan fahaman politik.

"Di bawah program Bakul Prihatin Negara yang baru digerakkan 15 Julai lalu, lebih 60,000 bakul telah diedarkan yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 isi rumah di seluruh negara.

"Hasrat kerajaan tidak lain adalah untuk menolong rakyat yang terkesan akibat pandemik, justeru marilah kita bersama-sama berusaha memulihkan negara," katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

Katanya, di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) sahaja sebanyak 500,000 Bakul Makanan telah diedarkan membabitkan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu, pada 1 Julai lalu di bawah Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), sejumlah RM66.6 juta diperuntukkan untuk Bantuan Bakul Makanan dengan kadar RM300,000 setiap Ahli Parlimen, tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang.

Menerusi hantaran itu juga, Muhyiddin memaklumkan beliau singgah di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, Muar, Johor hari ini untuk menyampaikan sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada 50 penghulu kampung di sekitar Pagoh dan Muar.

Sebanyak 1,000 bakul disediakan untuk diedarkan oleh penghulu bersama-sama sukarelawan Skuad Prihatin Negara kepada masyarakat setempat, di samping barangan basah seperti sayuran, ikan dan ayam segar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 5:30 PM