Siti Rohana Idris

Tumpat: Berjalan dari rumah ke rumah termasuk menyusuri laluan kereta api demi menyampaikan agihan kotak makanan kepada penduduk kampung yang terjejas.

Usaha itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli yang mengagihkan 20 kotak makanan sempena Op Bantu hari ini.

Agihan yang turut disertai Skuad Aman Wanita (AMANITA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu dimulakan dengan Kampung Belukar Berangan dan Jubakar Pantai.

Dengan membawa kotak makanan di tangan, rombongan berjalan kira-kira sejauh dua kilometer memasuki kampung yang kedudukan rumahnya agak dekat dengan laluan yang sempit.

Mohd Razi berkata, untuk IPD Tumpat, pihaknya menerima 300 kotak untuk diagihkan kepada penduduk di seluruh daerah yang dikenal pasti terjejas.

"Kita mendapat kerjasama daripada penghulu serta penggawa untuk mengenalpasti individu yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19 sama ada tidak dapat bekerja atau asnaf.

"Buat permulaan hari ini, kami mengagihkan 20 kotak terlebih dahulu di dua kampung dan selebihnya akan digerakkan oleh Skuad AMANITA dan ATM serta RELA," katanya ketika ditemui ketika proses agihan di Kampung Belukar Berangan di sini, hari ini.

PASUKAN AMANITA, anggota polis, ATM dan Rela menyampaikan agihan kotak makanan kepada sebahagian penduduk kampung yang terjejas akibat pandemik Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
PASUKAN AMANITA, anggota polis, ATM dan Rela menyampaikan agihan kotak makanan kepada sebahagian penduduk kampung yang terjejas akibat pandemik Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Op Bantu yang dilancarkan semalam oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin adalah untuk memberi bantuan segera kepada individu terputus bekalan makanan di seluruh negara, berikutan pandemik Covid-19.

Pelaksanaannya turut dilakukan secara kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan membabitkan agihan hampir 50,000 bakul bantuan makanan dengan semua IPD di seluruh negara dijadikan pusat pengagihan dan penyimpanan bantuan bekalan makanan.

Seorang penerima, Zunaidah Husin, 60, berkata, bantuan sebegitu sangat diperlukan keluarganya yang seramai 13 orang untuk kelangsungan hidup.

Katanya, suaminya, Deraman Jusoh, 71, yang bekerja sebagai tukang rumah sudah lama tidak dapat bekerja kerana turut menghidap asma dan tibi, selain pelaksanaan PKP.

"Kami kini hanya bergantung kepada anak yang bekerja di kedai makan serta menantu yang melakukan kerja kampung untuk menyara hidup termasuk enam cucu dan dua anak saudara yang yatim piatu.

"Selain bantuan hari ini, sumbangan yang sama sudah kami terima daripada beberapa pihak lain dan kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami 13 beranak tidak berlapar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 5:46 PM