Siti Rohana Idris


Tumpat: Sepanjang dua bulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula Jun lalu, 1,497 panggilan untuk bantuan Bakul Prihatin Negara 2021 diterima di negeri ini.

Panggilan itu direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan angka itu dilihat semakin meningkat berbanding dua PKP terdahulu.

Pengarah JKM negeri, Said Sidup berkata, sehingga kini pihaknya menerima 8,200 bakul makanan untuk fasa pertama dan sudah membuat agihan kepada 6,374 penerima.

"Penerima adalah memang daripada kalangan yang terjejas dan tidak dapat bekerja disebabkan pandemik Covid-19.

"Panggilan yang memohon bantuan semakin meningkat dan pihak kami tidak meletakkan syarat untuk penerima sebaliknya bantuan itu akan terus dihantar oleh skuad sukarelawan ke rumah masing-masing," katanya ketika ditemui di Kampung Belian di sini, hari ini.

Said berkata, pihaknya akan menerima sebanyak 5,100 lagi bantuan yang sama beberapa hari lagi menerusi fasa dua dan ia sebagai persediaan untuk agihan kepadalebih ramai lagi mereka yang dijangka terjejas.

"Walaupun tidak dikenakan sebarang syarat, kami yakin agihan dilakukan secara adil tanpa mengira latar belakang kerana dalam situasi sekarang boleh dikatakan majoriti terkesan.

Agihan bakul makanan dibuat oleh sukarelawan menggunakan motosikal roda tiga ke 250 rumah di Kampung Belian, di sini yang dikenakan PKPD bermula semalam hingga 17 Ogos ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Agihan bakul makanan dibuat oleh sukarelawan menggunakan motosikal roda tiga ke 250 rumah di Kampung Belian, di sini yang dikenakan PKPD bermula semalam hingga 17 Ogos ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

"Rasanya tidak timbul isu agihan kepada penerima yang sama kerana anggota sukarelawan yang ditugaskan untuk mengagih pasti tahu individu yang sudah menerima bantuan.

"Bagi yang ingin mendapatkan bantuan bakul makanan ini boleh menghubungi talian kasih 15999," katanya.

Beliau ditemui di Kampung Belian, di sini sempena agihan bakul makanan daripada kerajaan negeri yang diagihkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi dengan diiringi isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Siti Zabidah Abd Hamid.

Sumbangan barang makanan itu diagihkan kepada 250 rumah di kampung itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam sehingga 17 Ogos ini.

Mumtaz berkata, agihan makanan itu akan dilakukan sebanyak tiga kali dalam tempoh dua minggu PKPD dan sebagai tambahan, sayur, ayam mentah serta makanan ringan akan dibekalkan.

"Kita harap bekalan makanan ini dapat dimanfaatkan penduduk dan mengelakkan mereka keluar dari kawasan PKPD sekaligus mengekang jangkitan yang kita sangat bimbangi kerana trend terkini banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 5:36 PM