PEKERJA sindiket perjudian dalam talian dicekup dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Jalan Sungai Tapang, Padawan semalam. FOTO MELVIN JONI
PEKERJA sindiket perjudian dalam talian dicekup dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Jalan Sungai Tapang, Padawan semalam. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Padawan: Lapan pekerja sindiket perjudian dalam talian diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di kondominium di Jalan Sungai Tapang di sini yang dijadikan pusat panggilan kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, enam lelaki dan dua wanita, terdiri daripada dua tempatan dan enam warga Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan jam 3.30 petang semalam.

"Sindiket dipercayai beroperasi lebih lima bulan dan mengaut keuntungan mencecah RM5,000 sehari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua suspek dibayar gaji RM1,500 sebulan untuk mengendalikan perjudian dalam talian iaitu 918 Kiss, 918 Kaya, Se 88, Mega 888 dan Pussy 88.

Katanya, setiap pekerja dibekalkan sindiket dengan telefon pintar dan komputer untuk berurusan dengan pelanggan.

"Setiap wang pertaruhan akan dikreditkan oleh pelanggan ke beberapa akaun bank sindiket dan seterusnya slip bank akan dihantar melalui SMS dan WhatsApp.

"Seterusnya, pekerja akan memberi kata laluan kepada pelanggan untuk memulakan permainan judi," katanya.

Tambhanya, sindiket turut menyewa kondominium untuk berselindung dan mengaburi mata pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 5:49 PM