TANGKAP layar daripada rakaman sebuah video yang tular menunjukkan dua lelaki mengacukan senjata ke arah seorang individu di Tabuan Dayak.
TANGKAP layar daripada rakaman sebuah video yang tular menunjukkan dua lelaki mengacukan senjata ke arah seorang individu di Tabuan Dayak.
Melvin Joni

Kuching: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dilihat mengacukan senapang ke arah seorang individu dalam satu rakaman video yang tular hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kejadian dipercayai berlaku di Tabuan Dayak di sini.

"Pihak polis memandang serius perkara ini dan siasatan segera telah dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

Ahsmon berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 4:39 PM