ANTARA wanita warga asing dan pelanggan yang dicekup dalam Op Noda di sebuah hotel bajet. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA wanita warga asing dan pelanggan yang dicekup dalam Op Noda di sebuah hotel bajet. FOTO Ihsan PDRM
Nuraliawati Sabri

Melaka: Aktiviti pelacuran di hotel bajet di Taman Merdeka Permai di sini, terbongkar selepas premis itu diserbu polis, semalam dan lima wanita warga asing ditahan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah menerusi Op Noda pada 4 petang.

Katanya, wanita yang ditahan adalah empat warga Vietnam dan seorang warga Loas, semuanya berusia antara 20 hingga 31 tahun.

"Siasatan dijalankan mendapati mereka mempromosi kegiatan menerusi aplikasi Whatsapp dan WeChat, manakala bayaran antara RM180 hingga RM240 dikenakan untuk setiap perkhidmatan seks.

"Aktiviti dipercayai aktif kira-kira sebulan dengan wanita terbabit melayani sekurang-kurangnya tiga pelanggan sehari," katanya hari ini.

Afzanizar berkata, selain warga asing itu, pihaknya turut menahan empat lelaki berusia 27 tahun hingga 58 tahun yang juga pelanggan, pemilik dan penjaga premis.

"Beberapa barangan yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran turut dirampas dan kesemua mereka direman selama empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 372A akta sama.

"Pemilik premis berusia 58 tahun turut dikompaun RM10,000 di bawah Peraturan 16 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) 2021 kerana menjalankan perniagaan tanpa kebenaran dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1," katanya.

Sehingga Julai, IPD Melaka Tengah melakukan 20 serbuan membabitkan kegiatan pelacuran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:32 PM