DEPUTI Superintendan Hamizi Halim (dua dari kiri) menyoal siasat gadis disyaki melakukan aktiviti pelacuran dalam Ops Noda/Cantas di sebuah hotel di Jalan Lintas Luyang, Kota Kinabalu. FOTO Junaidi Ladjana
DEPUTI Superintendan Hamizi Halim (dua dari kiri) menyoal siasat gadis disyaki melakukan aktiviti pelacuran dalam Ops Noda/Cantas di sebuah hotel di Jalan Lintas Luyang, Kota Kinabalu. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana


PENAHANAN wanita dipercayai sebagai ‘mummy’ membongkar kegiatan pelacuran lima gadis warga Vietnam dalam Ops Noda/Cantas di hotel di Jalan Lintas Luyang, di Kota Kinabalu, malam tadi.

Serbuan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Hamizi Halim, menahan lima lelaki disyaki pelanggan susulan penemuan kondom yang sudah digunakan.

Turut ditemui 32 keping kondom, enam tiub minyak pelincir, 10 telefon bimbit dan RM3,410 tunai dipercayai hasil kegiatan pelacuran.

Ketika serbuan, seorang daripada gadis Vietnam berusia 19 tahun yang ditahan bertindak agresif dengan mengamuk dan enggan memberi kerjasama, namun dapat dikawal oleh pasukan serbuan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi yang bermula kira-kira 11 malam itu menahan wanita berusia 29 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga atau ‘mummy’.

“Berikutan itu, pasukan serbuan berjaya menangkap lima wanita warga Vietnam yang disyaki melakukan kegiatan pelacuran.

“Kelima-lima mereka ini ditahan di dalam bilik berbeza di tingkat lima dan enam di hotel berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Habibi berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek ini adalah mencari pelanggan dengan menggunakan WhatsApp dan WeChat.

“Harga ditawarkan bagi setiap langganan perkhidmatan seks sebanyak RM268.

“Semua tangkapan warga Vietnam berusia antara 19 hingga 29 tahun dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti dalang utama dalam kegiatan pelacuran ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 11:43 AM