MAQIS menahan 24,000 kg ikan susu beku bernilai RM150,001.20  di Pelabuhan Kuantan, Pahang yang cuba dibawa masuk tanpa permit import sah.  FOTO Ihsan MAQIS
MAQIS menahan 24,000 kg ikan susu beku bernilai RM150,001.20 di Pelabuhan Kuantan, Pahang yang cuba dibawa masuk tanpa permit import sah. FOTO Ihsan MAQIS
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan 24,000 kilogram (kg) ikan susu sejuk beku atau frozen milkfish yang cuba dibawa masuk tanpa permit import sah di Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Maqis dalam satu kenyataan berkata, barang dagangan yang dipercayai dari Indonesia itu dianggarkan bernilai RM150,001.20.

Menurutnya, barang dagangan terbabit kini ditahan untuk tindakan lanjut selepas gagal mengemukakan permit import sah ketika pemeriksaan rutin dijalankan pegawai penguatkuasanya sekitar jam 10.15 pagi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 11(3).

"Mengikut akta sama, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, pihak MAQIS berharap semua pemain industri pengimportan dan pengeksportan sentiasa mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan supaya jaminan keselamatan makanan negara terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:55 PM