GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zaid Salim


Chukai: Alasan bosan duduk di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah kepada dua lelaki apabila masing-masing dikenakan kompaun RM5,000.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dua lelaki terbabit masing-masing berusia 32 tahun dari Kampung Chendor Sempadan dan Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang dikenakan kompaun kerana cuba masuk ke negeri ini tanpa surat kebenaran, 2 petang semalam.

Beliau berkata, mereka dikesan cuba merentas negeri ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Kemaman/Kuantan di Kampung Mak Lagam, di sini.

"Kompaun sebanyak RM5,000 dikeluarkan atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaun Kesalahan-Kesalahan) 2021," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Dalam kes berasingan, pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0.

Katanya, lelaki dari Rumah Murah Kampung Bukit Kuang, di sini, dikenakan denda itu kerana membawa penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan.

"Lelaki terbabit ditahan ketika melalui SJR Sekolah Pusat, di sini, jam 3.30 petang, hari sama (semalam).

Menurutnya, kompaun dikeluarkan mengikut kesalahan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaun Kesalahan-Kesalahan) 2021," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 8:39 AM