ANGGOTA polis membuat pemeriksaan di Kampung Kuala Lesong petang semalam. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan di Kampung Kuala Lesong petang semalam. FOTO ihsan polis
Safuri Kamarudin


Baling: Akibat ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 11 pengguna jalan raya dikenakan kompaun selepas didapati merentas daerah tanpa kebenaran polis.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, anggotanya melakukan sekatan jalan raya (SJR) bergerak Ops Khas Rentas di Kampung Kuala Lesong, Kuala Ketil bermula jam 5 petang semalam hingga malam tadi.

Katanya, pemantauan di kawasan bersempadan Baling dan Kuala Muda itu mendapati masih ada pengguna jalan raya ingkar dengan larangan merentas daerah.

"Ketika pemantauan dibuat, kita mendapati 10 lelaki dan seorang wanita tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP kerana merentas daerah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

"Mereka berusia antara 19 hingga 40 tahun didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

"Berikutan itu, mereka dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang dan sekiranya kompaun dibayar dalam tempoh tujuh hari, mereka akan mendapat potongan 50 peratus daripada jumlah dikenakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shamsudin turut menasihat orang ramai agar mematuhi segala arahan SOP seperti yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh PKP bagi mengekang penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Katanya, tindakan tegas akan diambil jika ada pelanggaran mana-mana SOP yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 10:25 AM