ANGGOTA polis memperketatkan SJR di Tol Bentong. FOTO Aswadi Alias
ANGGOTA polis memperketatkan SJR di Tol Bentong. FOTO Aswadi Alias
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Bentong: Sebanyak 98 kenderaan yang tidak mempunyai dokumen sah untuk merentas negeri diarah berpatah balik ketika melalui tiga sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu diarah berpatah balik selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen sah untuk merentas negeri.

"Ini termasuk tidak mempunyai kebenaran merentas negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ada yang menggunakan surat kebenaran oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas sebab yang tidak munasabah.

"Kita turut mengeluarkan lima kompaun atas pelbagai kesalahan lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiga SJR dilaksanakan di sekitar daerah Bentong iaitu selepas Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan; hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi dan Jalan Simpang Durian, Manchis.

"Orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kompaun ke atas individu yang melanggar peraturan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 10:49 PM