Keadaan dua kereta milik anggota IPD Kemaman ditenggelami lumpur di kawasan lubang seluas tiga meter susulan kejadian paip air di hadapan IPD Kemaman pecah, malam tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan dua kereta milik anggota IPD Kemaman ditenggelami lumpur di kawasan lubang seluas tiga meter susulan kejadian paip air di hadapan IPD Kemaman pecah, malam tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
Zaid Salim


Chukai: Kejadian paip air pecah di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada 11 malam tadi menyebabkan dua kenderaan anggota mengalami kerosakan.

Ketua Polis Daerah Superintendan Hanyan Ramlan berkata, susulan kejadian itu, laluan di kedua arah di hadapan IPD berkenaan sejauh 200 meter ditutup kepada semua kenderaan.

"Kesan daripada kejadian menyebabkan berlaku lubang dianggarkan seluas tiga meter di lokasi kejadian.

"Kita tidak pasti berapa kedalaman lubang berkenaan kerana kawasan berkenaan dipenuhi air dan lumpur" katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, kejadian itu juga menyebabkan dua kenderaan anggota yang diletakkan di lokasi kejadian ditenggelami lumpur.

"Kenderaan terbabit adalah milik anggota yang sedang membuat kawalan di Sekatan Jalan Raya (SJR) PKPB di sempadan Kemaman/Kuantan di Kampung Paya Berenjut di sini.

"Kejadian itu menyebabkan air melimpah masuk ke ruang balai dan lokap separas buku lali dan kerja pembersihan sedang dilakukan. Ini adalah kejadian kali kedua selepas pertama berlaku pada November tahun lalu," katanya.

Hanyan berkata, pihaknya tidak pasti punca kejadian dan Syarikat Air Terengganu (SATU) sudah mengambil tindakan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 3:32 PM