NUR Maisara menunjukkan keputusan STPM 2020. FOTO Ihsan Nur Maisara Abdul Malik
NUR Maisara menunjukkan keputusan STPM 2020. FOTO Ihsan Nur Maisara Abdul Malik
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Setiap kali memiliki masa terluang, gadis ini sanggup berkorban dengan meredah ladang getah untuk menoreh demi membantu meringankan beban keluarganya.

Kesukaran dilalui Nur Maisara Abdul Malik, 20, akhirnya terbalas apabila dia memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 yang diumum, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di Raub, Pahang itu bersyukur kerana usaha dan sokongan keluarga menyuntik semangat untuk cemerlang dalam pelajaran.

Menurutnya, di sebalik kegembiraan itu, terselit impian untuk menyambung pengajian di menara gading tetapi terpaksa ditunda buat seketika.

"Saya memang berhasrat melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang pendidikan, namun masalah kewangan yang terhad menyebabkan impian itu terpaksa disimpan buat sementara waktu.

"Pendapatan bapa sebagai tukang rumah yang tidak menentu kerana Covid-19, manakala ibu hanya suri rumah sudah pasti akan menambah beban apabila saya diterima menyambung pengajian kerana memerlukan perbelanjaan yang banyak.

"Sebab itu saya tidak kisah menoreh getah di kebun bapa saudara setiap kali ada masa terluang termasuk ketika menunggu keputusan STPM kerana mahu membantu bapa yang menjadi penanggung tunggal keluarga," katanya.

Bercerita mengenai cabaran menjadi calon STPM 2020 dalam suasana Covid-19, Nur Maisara berkata, talian internet yang terhad menyukarkan dia menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah yang terletak di luar bandar.

Katanya, sentiasa memberi fokus ketika mengikuti PdPR selain membuat nota ringkas untuk mengulangkaji antara 'resepi' kejayaannya dalam STPM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 4:25 PM