Anggota polis dibantu tentera mengawal pintu masuk Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 14 Julai depan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Anggota polis dibantu tentera mengawal pintu masuk Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 14 Julai depan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Tiada cubaan melarikan diri oleh pekerja warga asing di Mentari Court, di sini, seperti dakwaan tular di media sosial, semalam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mana-mana individu dibenarkan keluar dan masuk di kawasan berkenaan sebelum pelaksanaan PKPD.

"Sebelum pelaksanaan PKPD, mana-mana individu bebas bergerak dalam radius 10 kilometer dan untuk pergi bekerja.

"Bagaimanapun, selepas pelaksanaan PKPD bermula 12.01 tengah malam tadi, tiada pergerakan keluar dari kawasan ini dibenarkan.

"Mungkin timbul salah faham apabila ada pekerja warga asing yang didakwa melarikan diri seperti dakwaan tular di media sosial, namun tiada kes sedemikian kerana mereka masih bebas keluar dan masuk sebelum pelaksanaan PKPD," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan PKPD di Mentari Court, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Petaling Dr R Sudeash.

Katanya, pihaknya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan proses merekod butiran diri semua 17,000 penghuni Menteri Court bagi mengelak pergerakan keluar dan masuk tanpa kebenaran semasa PKPD dilaksanakan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menafikan dakwaan pekerja kilang warga asing yang tinggal di Mentari Court meninggalkan kediaman mereka susulan pelaksanaan PKPD di kawasan itu bermula tengah malam tadi.

Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dipetik berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai dakwaan itu yang dikatakan berlaku petang, semalam.

Katanya, semakan dilakukan dengan kilang terbabit mendapati berlaku salah faham dengan penghuni Mentari Court dan tiada pekerja warga asing yang keluar dari kawasan itu seperti dakwaan tular di media sosial.

Malah, pihak polis juga sudah melakukan pemantauan di kawasan ini sebaik pengumuman PKPD di lokasi itu dikeluarkan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini.

Semalam, satu video berdurasi 33 saat tular menunjukkan sekumpulan penghuni dipercayai pekerja kilang didakwa cuba meninggalkan kawasan itu sambil membawa barangan peribadi.

Dalam video sama juga dilihat terdapat beberapa penduduk dan pengawal keselamatan di kawasan berkenaan cuba menghalang pergerakan keluar mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 1:44 PM