GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: "Berlaku salah faham antara syarikat itu dengan penghuni Mentari Court, tapi tiada pekerja warga asing yang keluar dari kawasan ini," kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Beliau menjelaskan dakwaan pekerja kilang warga asing yang tinggal di Mentari Court di sini, meninggalkan kediaman mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu yang bermula tengah malam ini.

Mohamad Fakhrudin yang ditemui selepas tinjauan di penempatan berkenaan tengah malam ini berkata, selepas semakan dibuat, pihaknya mengesahkan tidak berlaku kes penghuni melarikan diri sebelum PKPD.

"Malah, kami sudah melakukan pemantauan di kawasan ini sebaik pengumuman PKPD dikeluarkan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini," katanya.

Terdahulu, video berdurasi 33 saat tular di media sosial, semalam yang menunjukkan sekumpulan penghuni di Mentari Court dipercayai pekerja kilang didakwa cuba meninggalkan kawasan itu sambil membawa barangan peribadi.

Turut kelihatan beberapa penduduk setempat dan pengawal keselamatan yang cuba menghalang pergerakan mereka.

Dalam pada itu, Mohd Fakhrudin berkata, seramai 84 pegawai dan anggota polis dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan kawalan keselamatan di Mentari Court yang mempunyai 17,000 penghuni dengan keluasan kawasan 1.6 kilometer persegi.

Katanya, daripada jumlah penghuni itu, 40 peratus penduduk adalah warga asing yang bekerja di kawasan perindustrian berhampiran.

"Selain itu, kami turut dibantu agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Pejabat Tanah Daerah (PTD) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tugas-tugas pelaksanaan PKPD.

"Pemasangan dawai di kawasan ini akan dilakukan bermula jam 9.30 pagi ini, manakala ujian saringan Covid-19 terhadap penduduk pula akan dijalankan secara berperingkat bermula Jumaat nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 12:45 AM