Anggota polis dan tentera mengawal pintu masuk ke Apartment Mentari Court, Petaling Jaya yang dikenakan PKPD. Foto Aziah Azmee
Anggota polis dan tentera mengawal pintu masuk ke Apartment Mentari Court, Petaling Jaya yang dikenakan PKPD. Foto Aziah Azmee
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Seramai 127 daripada 1,200 individu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mentari Court di sini, disahkan positif Covid-19.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kadar jangkitan di kawasan itu dijangkakan boleh mencecah hingga 400 hingga 500 individu daripada jumlah keseluruhan 17,000 penduduk.

"Dianggarkan seramai 17,000 penduduk di Mentari Court ini secara keseluruhannya dan 9,000 daripadanya sudah disahkan tinggal di sini.

"Lebih 5,000 penduduk sudah disaring sebelum ini dan kita jangka seramai 1,500 akan disaring kali kedua," katanya ketika sidang ahkbar selepas mengadakan lawatan ke kawasan itu, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Halimey Abu Bakar dan Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Amirudin berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyediakan kemudahan seperti klinik bergerak dan Covid-19 Assesement Center (CAC) di sini.

"Seramai 1,553 orang penduduk dijadualkan menerima vaksin bermula hari ini bagi memastikan penularan dalam komuniti dapat diputuskan.

"Model pelaksanaan ini juga akan diaplikasikan di Taman Murni, Sepang dan beberapa lokaliti lain khusus kawasan perumahan atau penempatan penduduk campur," katanya.

Berita berkaitan

Penghuni 98 kediaman di Mentari Court tidak beri kerjasama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 5:31 PM