FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Isu kesihatan mental masyarakat perlu diberi perhatian sewajarnya, berikutan dilihat bertambah serius dalam tempoh pandemik Covid-19.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, banyak faktor mendorong kesihatan mental terjejas, khususnya tekanan psikologi yang disebabkan pelbagai perkara.

Katanya, ia termasuklah masalah kewangan dan beban hutang yang jika tidak diselesaikan, boleh membawa kepada perlakuan tidak rasional selain mendorong penghidap mengakhiri hayat.

"Mereka ini menghadapi tekanan dalam kehidupan, hilang pekerjaan ditambah pula nak minta kerja sukar dalam suasana tertutup, paranoid dan tidak mahu berkomunikasi disebabkan rasa orang tidak memahami masalah mereka hadapi.

"Namun keadaan tekanan ini akan menjadi masalah jika ia berpanjangan atau menjejaskan fungsi harian individu terbabit," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Shazli berkata, isu kesihatan mental juga akan menjadi lebih serius jika tiada mekanisma yang rapi dalam membantu golongan terkesan itu.

Lebih rumit katanya, individu menghidap masalah emosi tidak memberi petunjuk dan sukar diketahui, disebabkan mereka jenis menyendiri dan terputus hubungan dengan dunia luar.

"Mereka ini hilang kesedaran terhadap persekitaran dan berada dalam dunia sendiri. Mereka berfikir cara terbaik nak atasi masalah dihadapi adalah memusnahkan diri sendiri.

"Tapi kebiasaannya individu yang berpotensi untuk bertindak luar jangkaan ini disebabkan oleh faktor halusinasi atau pengambilan dadah," katanya yang merumuskan sesuatu keadaan parah apabila individu itu hilang pertimbangan yang bukan hanya mahu memusnahkan diri tetapi juga keluarga serta orang sekeliling.

Justeru, beliau berharap, kerajaan mengambil tindakan wajar dan memberi sokongan dalam menangani isu kesihatan mental rakyat.

Beliau turut menyarankan individu yang mengalami tekanan supaya menggunakan Talian Bantuan Sokongan Psikososial untuk mendapatkan penilaian dan sokongan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 5:05 PM