TOSRIN menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang STAM di Taman Tanjung Puteri Resort di sini, hari ini. FOTO Omar Ahmad
TOSRIN menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang STAM di Taman Tanjung Puteri Resort di sini, hari ini. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Keluarga yang mempunyai tekanan perasaan dan gangguan emosi akibat hilang mata pencarian atau masalah lain akibat pandemik Covid-19 boleh mendapatkan khidmat nasihat dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, Bahagian Pembangunan Keluarga JAINJ mempunyai skuad khas dalam menangani masalah itu.

"Kita akan bantu dengan memberikan nasihat, bimbingan dan kaunseling bagi mereka yang mempunyai masalah kewangan, rumah tangga atau perniagaan terjejas akibat Covid-19.

"Mereka hanya perlu datang ke pejabat JAINJ negeri atau di daerah masing-masing. Selain itu mereka juga boleh menyalurkan masalah itu secara dalam talian.

"Bukan sahaja masalah disebabkan Covid-19 tetapi mereka yang menghidap penyakit kronik lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 dari Johor, Siti Asiah Shamsol Sayfol yang memperoleh pangkat Mumtaz Sofi, di kediamannya di Taman Tanjung Puteri Resort di sini.

Hadir sama Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki Samsudin.

Tosrin berkata demikian ketika mengulas beberapa kes tekanan perasaan dan emosi sehingga meragut nyawa yang dilaporkan sebelum ini.

Beliau turut menasihatkan mana-mana pasangan yang bermasalah supaya supaya tidak mengambil tindakan merugikan sebaliknya meminta bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi pusat zakat atau Baitulmal.

"Bagi keluarga bukan Islam yang berdepan masalah sama boleh memohon bantuan dan pihak MAINJ sedia menimbangkannya berdasarkan kes mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 4:23 PM