NOOH dan Burhanuddin bergambar bersama pasang pengantin. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
NOOH dan Burhanuddin bergambar bersama pasang pengantin. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 25 pasangan terdiri daripada sembilan pasangan Orang Asli dan 16 saudara baru dinikahkan secara beramai-ramai dalam satu majlis di Masjid Al-Mubarak, Bandar Putra, Kulai, hari ini.

Majlis Pernikahan Beramai-ramai Saudara Kita dan Orang Asli Peringkat Negeri Johor itu adalah anjuran sepenuhnya Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Timbalan Pengarah Operasi JAINJ, Md Burhanuddin Tibek berkata, majlis seumpama itu diadakan secara dwitahunan sejak 2011, namun kembali diadakan secara besar-besaran bagi meraikan pasangan pengantin.

Katanya, jumlah pasangan yang terbabit dalam majlis berkenaan adalah berdasarkan permohonan yang diterima pihaknya sejak tiga bulan lalu.

"Setiap tahun hampir 50 hingga 60 pasangan saudara baru dan Orang Asli yang dinikahkan pihak kami. Seperti yang sedia maklum, urusan pernikahan pasangan saudara baru dan Orang Asli adalah diuruskan JAINJ.

"Cuma, kami memilih untuk mengadakan majlis sebegini dua tahun sekali bagi meraikan pasangan pengantin ini," katanya ketika ditemui di Masjid Al-Mubarak, Bandar Putra, Kulai, hari ini.

Pada majlis itu, semua 25 pasangan dinikahkan secara beramai-ramai membabitkan 15 jurunikah termasuk Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadot; Burhanuddin; Kadi Besar Negeri Johor, Ahmad Faisal Mohamed serta barisan Kadi Daerah.

Majlis pernikahan yang bermula 9 pagi itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Nooh dan bacaan khutbah nikah oleh Ahmad Faisal.

Semua pengantin lelaki kemudian melakukan sujud syukur selepas selamat diijabkabulkan sebelum semua pasangan pengantin berarak dengan kereta mewah menuju dewan persandingan di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, Kulai.

Menurut Burhanuddin, semua urusan dan perbelanjaan perkahwinan buat pasangan pengantin adalah diberikan sepenuhnya daripada peruntukan MAINJ, manakala pasangan pengantin hanya menyediakan mas kahwin masing-masing.

"Majlis yang diadakan ini bagi memperlihatkan betapa indahnya Islam dan bagaimana pernikahan itu dilaksanakan dengan cara yang betul mengikut hukum syarak dan yang dikehendaki dalam Islam," katanya.

Menurut pasangan Adam Wong Abdullah, 38, dan Hafiza Abu Hassan, 44, mereka amat gembira apabila dinikahkan sendiri oleh Nooh.

Menurut Adam Wong, selepas dua tahun memeluk Islam, dia begitu teruja menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim, apatah lagi dapat bernikah dengan wanita pilihan hatinya.

"Sebagai saudara baru, apabila didedahkan dengan perkara sebegini, baru saya tahu Islam itu memudahkan. Selain menjimatkan kos dan tidak berlebih-lebihan, kita dapat menambah kenalan yang juga masih mendalami dan mendekatkan diri dengan agama Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 12:12 PM