Kotak berisi minyak masak yang dirampas PGA ketika cuba diseludup berdekatan pangkalan haram Jitong, Bukit Lata, Pasir Mas semalam. Foto Ihsan PGA
Kotak berisi minyak masak yang dirampas PGA ketika cuba diseludup berdekatan pangkalan haram Jitong, Bukit Lata, Pasir Mas semalam. Foto Ihsan PGA
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Cubaan seorang lelaki menyeludup minyak masak yang dimuatkan dalam kereta gagal apabila kegiatannya itu dikesan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berdekatan pangkalan haram Jitong, Bukit Lata di sini, semalam.

Susulan itu, PGA7 merampas 323 kilogram (kg) minyak masak bernilai kira-kira RM1,292 dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya sedang membuat rondaan sebelum terserempak kenderaan berkenaan yang menghala ke pangkalan haram dalam keadaan mencurigakan pada 7 malam itu.

"Anggota rondaan itu kemudiannya menahan kereta terbabit dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum memeriksa pemandunya iaitu lelaki warga tempatan berusia 34 tahun, namun tidak menemui sebarang barangan yang salah.

"Pemeriksaan diteruskan lagi di dalam kereta terbabit dan menemui kotak di bahagian tempat duduk belakang serta but yang mana kesemuanya berisi minyak masak.

"Siasatan lanjut mendapati kesemua minyak masak itu dibawa ke pangkalan haram untuk dibawa seludup menggunakan perahu bagi merentasi Sungai Golok," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, suspek itu kemudiannya ditahan, manakala barangan serta kereta dirampas dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 10:02 AM