Tiga rumah yang diletakkan dalam kawasan PKPD musnah terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Tiga rumah yang diletakkan dalam kawasan PKPD musnah terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Belud: Tiga rumah yang diletakkan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Taun Gusi Peninting, di sini, terbakar malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, ketiga-tiga rumah yang menggunakan struktur kayu berkenaan musnah sepenuhnya.

Difahamkan, pelaksanaan PKPD di kampung berkenaan bermula sejak 17 Jun lalu dan dijadualkan tamat pada 30 Jun depan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.32 malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud.

"Operasi pemadaman dijalankan dengan kekuatan seorang pegawai dan sembilan anggota bersama sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT).

"Operasi turut dibantu sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda 4x4 Bomba jenis Toyota Vigo," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 9.30 malam sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.33 malam.

Katanya, kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dan sebuah rumah jenis tidak kekal masing-masing berukuran 1,200 kaki persegi yang musnah 100 peratus.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Zon Kudat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 1:47 PM