Recqueal Raimi


EMPAT sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Peninting, Taun Gusi, di Kota Belud, malam tadi.

Dalam kejadian 8.20 malam itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan apabila semua penghuni rumah terbabit sempat menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud Rozlan Osman berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan 8.24 malam, dua jentera dan satu kenderaan utiliti dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kebakaran, api sedang marak dan merebak ke seluruh bahagian rumah dengan cepat.

“Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam api menggunakan tiga aliran dengan lima hos bagi mengelak api merebak ke rumah bersebelahan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, harta benda dan sebahagian dokumen penting milik penghuni tidak sempat diselamatkan.

“Operasi berjaya dikawal 10.06 malam dan punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi turut dibantu lapan anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB) dan tiga Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Pangkalan Abai serta Kampung Jawi-jawi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 10:21 AM