GAMBAR fail. FOTO Bernama
GAMBAR fail. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan bilangan maksimum 30 jemaah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Manakala, solat fardu lima waktu didirikan oleh bilangan maksimum lima orang yang terdiri daripada anggota jawatankuasa dan pegawai masjid.

Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan berkata, semua aktiviti pengimarahan adalah ditangguhkan.

"Laungan azan solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa selain penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) di peringkat masjid, surau Jumaat dan surau.

"Penyediaan ruangan khas solat bagi musafir, pemandu teksi, pemandu e-hailing, penghantar makanan dan seumpamanya.

"Ketetapan ini berkuat kuasa mulai 13 Januari 2021 (esok) mulai solat fardu Subuh sehingga PKP ditamatkan," katanya.

Sementara itu Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan itu selaras dengan pelaksanaan PKP yang diumumkan oleh kerajaan bermula esok dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pihaknya membuat ketetapan bahawa semua aktiviti pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah ditangguhkan sepanjang tempoh PKP.

"Marilah kita semua terus berdoa dan bermunajat agar penularan wabak Covid-19 dalam negara segera berakhir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 9:40 PM