Mohd Tamimi (kanan) sedang merawat penyu Agar yang ditemui hampir mati selepas terdampar di Pantai Rantau Abang. FOTO Rosli Ilham
Mohd Tamimi (kanan) sedang merawat penyu Agar yang ditemui hampir mati selepas terdampar di Pantai Rantau Abang. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


PENYU Agar seberat 80 kilogram ditemui terdampar dan hampir mati dipercayai dibadai ombak besar di Pantai Rantau Abang di Dungun, hari ini.

Penyu betina itu ditemui pengutip telur penyu berlesen, Yusuf Harun, 58, kira-kira 9 pagi sebelum melaporkannya kepada Institut Penyelidikan Perikanan Penyu dan Hidupan Marin Terancang (FRI) Rantau Abang.

Ketua Pasukan Penyelamat FRI Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, pihaknya yang menerima laporan berkenaan segera bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya kemudiannya terpaksa mengusung penyu berkenaan bagi mengelaknya daripada ditarik ke laut serta untuk dilakukan pemeriksaan awal.

"Pemeriksaan itu mendapati penyu itu berada dalam keadaan sangat tenat sebelum ia dibawa ke FRI Rantau Abang untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penyu yang berusia dalam lingkungan 20 tahun dan juga matang untuk bertelur mengalami kecederaan dan dua kesan luka lama di bahagian karapasnya dipercayai terkena kipas bot.

Katanya, pihaknya kini melakukan kerja mencuci untuk membuang teritip yang melekat pada penyu terbabit dan menghapuskan bakteria di lukanya.

"Penyu itu sedang dikuarantin supaya tenaganya yang hilang dapat pulih termasuk memberinya makanan rumusan diperbuat daripada pisang, betik yang dikisar dengan gula merah," katanya.

Penyu Agar berkenaan adalah yang ketiga diselamatkan sejak awal tahun ini selepas dua penyu nyaris mati dipercayai keletihan dipukul ombak ditemui pada 1 dan 2 Januari lalu.

Penyu Lipas dan penyu Karah itu ditemui di dua lokasi berasingan iaitu pantai di Seberang Takir, Kuala Terengganu dan pantai di Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 9:52 PM