PEMENANG keseluruhan daripada Kontinjen Wilayah Persekutuan, dari kiri, Lim Yi Kai, Azwani, Lemueel Mill dan Muhammad Azimi Mohamed Roseli.
PEMENANG keseluruhan daripada Kontinjen Wilayah Persekutuan, dari kiri, Lim Yi Kai, Azwani, Lemueel Mill dan Muhammad Azimi Mohamed Roseli.
Nor Akmar Samudin


KUALA LUMPUR: “Saya bercita-cita menjadi peguam kerana mahu membela nasib ibu yang lemah sebelah badan, selain bapa yang cacat penglihatan,” kata Peserta Terbaik (kategori masalah penglihatan) IT Challenge For Youth With Disabilities Peringkat Kebangsaan 2019, Fatin Azwani Abu Zarin, 16.

Pada pertandingan, semalam, Azwani mencabar dirinya untuk dua kategori iaitu E-Tool Challenge serta E-Life Map dan lebih membanggakan, dia merangkul tempat pertama bagi kedua-dua kategori berkenaan.

“Ayah tak dapat menyaksikan kejayaan saya hari ini kerana menjaga ibu yang kurang sihat,” katanya ditemui selepas acara penyampaian hadiah yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar.

Menurut Azwani, bapanya bekerja sebagai pemuzik jalanan untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Itulah sumber pendapatan ayah untuk membesarkan kami lima beradik. Kami semua masih bersekolah.

“Saya kerap mengikuti ayah bekerja dan saya lihat sendiri kegigihannya mencari rezeki untuk kami. Jasa ayah tidak akan saya lupakan, kerana itu saya berazam untuk berjaya dalam pelajaran.

“Jika saya tidak dapat menggapai impian bergelar peguam, saya akan mengambil kursus kulinari,” katanya yang handal memasak asam pedas.

Azwani yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak adalah anak keempat daripada lima beradik.

“Dalam kalangan adik-beradik, hanya saya yang berdepan masalah penglihatan,” katanya.

Farah Afrina Fadzil, 16, pemenang Anugerah Peserta Terbaik (Kategori Penyampai Terbaik) pula berdepan masalah pembelajaran.

Dia hanya mula bercakap pada usia enam tahun dan perkataan pertama disebutnya ialah ‘elephant’.

Pada pertandingan itu, Farah Afrina bersama kumpulannya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Selangor menjuarai Kategori E-Content dan E-Kreatif.

“Ayah dan ibu datang meraikan kejayaan saya hari ini. Ibu menangis apabila nama saya disebut sebagai pemenang kerana ibu memang mahu melihat saya berjaya.

“Mereka sentiasa memberi galakan dan semangat kepada saya serta selalu mengingatkan saya jangan jadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk berjaya,” katanya.

Menurut Farah Afrina, ketika berada di tahun empat, dia masih tidak boleh bercakap dengan lancar sehingga dibawa bertemu dengan pakar psikologi untuk rawatan.

Katanya, rawatan dilakukan secara berkumpulan dan selepas beberapa sesi, baru dia boleh bercakap.

Farah Afrina fasih berbahasa Inggeris dan bercita-cita berkecimpung dalam bidang animasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 7:30 AM