SERAMAI 79 mat rempit yang ditahan dalam Operasi Bersepadu dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah, Chukai untuk solat Subuh berjemaah, membaca surah Yasin dan mendengar tazkirah. FOTO Rosli Ilham.
SERAMAI 79 mat rempit yang ditahan dalam Operasi Bersepadu dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah, Chukai untuk solat Subuh berjemaah, membaca surah Yasin dan mendengar tazkirah. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


MENUNAIKAN solat Subuh berjemaah, membaca surah Yasin dan mendengar tazkirah di Masjid Sultan Ahmad Shah, Chukai antara program diatur polis daerah Kemaman terhadap 79 mat rempit yang ditahan dalam Operasi Bersepadu, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata semua mereka ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, bermula malam tadi.

Beliau berkata, operasi bermula 11 malam dan berakhir menjelang Subuh hari ini dibuat berikutan aduan awam berhubung kegiatan mat rempit yang menjadikan jalan raya di daerah ini sebagai litar untuk berlumba sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Seramai 41 anggota polis serta empat pegawai terbabit dalam operasi dilakukan di kawasan Jalan Chukai-Air Putih, yang menjadi lokasi utama untuk golongan ini berlumba dan melakukan aksi merbahaya.

“Semua 79 mat rempit ditahan adalah pelajar sekolah dan kolej serta pekerja swasta berusia antara 15 hingga 30 tahun.

“Mereka menjadikan hujung minggu untuk berseronok dengan kegiatan berlumba di jalan raya dan melakukan aksi merbahaya,” katanya kepada NSTP.

Mohd Said berkata, seramai 115 penunggang motosikal diperiksa dan 135 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan tiga penunggang motosikal ditahan selepas ujian air kencing mereka didapati positif dadah jenis Metamphetamin.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan ialah menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta tiada cermin sisi.

“Sebanyak 45 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk membuat pengubahsuaian tidak menepati spesifikasi dibenarkan.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Kemaman untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke Masjid Sultan Ahmad Shah untuk solat Subuh berjemaah dan membaca surah Yasin serta mendengar tazkirah,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu diharap dapat memberi kesedaran dan membuka minda mereka supaya tidak melakukan aktiviti tidak berfaedah.

Katanya, perbuatan mereka bukan saja mengganggu ketenteraman awam, malah boleh membahayakan nyawa.

“Ini pendekatan baru kami dalam mendidik dan menyedarkan mat rempit betapa bahayanya tindakan mereka berlumba di jalan raya.

“Ibu bapa perlu sentiasa peka dan memantau pergerakan anak mereka terutama pada waktu malam supaya tidak terbabit aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah dan lumba motor haram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 5:07 PM