GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dijangka mencapai sasaran imuniti kelompok seawal Ogos ini, malah lebih awal berbanding negeri lain apabila Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) meneruskan pelaksanaan fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.

Seramai 31,987 orang akan menerima vaksin mulai hari ini hingga 23 Jun depan membabitkan golongan berisiko tinggi seperti peniaga, pekerja pasar harian serta penjaja, kawasan industri, penempatan gelandangan, Program Perumahan Rakyat, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN), Perumahan Awam (PA) DBKL dan kampung tradisi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, fasa kedua itu membabitkan 22 lokasi antaranya, Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Harian Selayang, lapan kawasan industri, tujuh PPR MTEN/PA DBKL, pusat penempatan gelandangan di Pusat Komuniti Setiawangsa, Desa Aman, Desa Tasik, Kampung Sungai Penchala dan Kampung Padang Balang.

Katanya, dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi yang menggunakan keseluruhan 10 trak vaksin bergerak itu, mencapai sasaran 80 peratus warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dapat divaksinasikan menjelang Ogos ini.

"Inisiatif ini adalah lanjutan daripada Program Rintis Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang bermula sejak 7 hingga 13 Jun 2021 lalu.

"Dalam tempoh itu, sebanyak 24,500 dos vaksin sudah diberikan kepada kumpulan sasar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Melihat kepada kejayaan ini, pihak CITF memberikan kebenaran kepada KWP untuk meneruskan Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah ini.

"Inisiatif ini dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsagaan dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, KWP menyasarkan 33,000 suntikan vaksin dalam sehari untuk dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sasaran itu mampu dicapai menerusi pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega selain PPV di klinik dan hospital swasta serta vaksinasi melalui Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.

Kejayaan program vaksinasi itu adalah hasil kerjasama strategik KWP bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) serta jabatan dan agensi kerajaan lain.

Selain itu, pelaksanaan Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah itu juga mendapat sokongan teknikal dan logistik daripada pelbagai pihak termasuk krew bukan perubatan, sukarelawan (PriVo) dan persatuan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 11:08 AM