ANNUAR (kiri) pada sidang media Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
ANNUAR (kiri) pada sidang media Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yakin 80 peratus warganya dapat disuntik vaksin Covid-19 pada Julai dan Ogos depan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi pelbagai inisiatif vaksinasi yang giat dijalankan hasrat itu dapat direalisasikan lebih cepat berbanding jangkaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurutnya, seramai 80 peratus warga Labuan dijangka dapat suntikan vaksin pada Julai ini manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Ogos depan.

"KWP bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk meningkatkan jumlah penerima suntikan di Wilayah Persekutuan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

"Ini boleh laksanakan kerana kita ada lebih 100 pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh Wilayah Persekutuan termasuk PPV mega.

"Selain itu, sebanyak 100 klinik swasta dan 19 hospital swasta dijadikan PPV untuk meningkatkan kapasiti harian pemberian vaksin," katanya pada sidang media PPN bagi KWP di sini.

Beliau berkata, inisiatif vaksinasi menggunakan trak vaksin bergerak juga akan ditambah kepada 30 buah berbanding hanya 12 trak bergerak ketika ini.

Katanya, Wilayah Persekutuan menyasarkan 50,000 suntikan vaksin sehari bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala 3,000 suntikan untuk Labuan.

Tambahnya, apabila suntikan vaksin dapat diberikan lebih cepat, lebih banyak kelonggaran boleh dinikmati penduduk Wilayah Persekutuan.

"Sektor ekonomi, pentadbiran dan kehidupan rakyat di Wilayah Persekutuan akan lebih baik apabila warganya sudah divaksin.

"Selepas berbincang dengan CITF, KWP akan fokus pemberian vaksin kepada kumpulan kecil seperti kumpulan rentan, B40, penduduk di kawasan kepadatan tinggi seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) termasuk gelandangan," katanya.

Annuar berkata, KWP juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyuntik pekerja pembinaan kerana banyak projek pembinaan yang sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, program trak vaksin bergerak juga akan diteruskan selepas ini bagi membolehkan lebih ramai warga Wilayah Persekutuan menerima suntikan vaksin.

Sementara itu, KWP menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) bersetuju memberi rebat kepada cukai pintu semua aset bagi mengurangkan beban warganya.

Menurutnya, pengurangan rebat sebanyak lima hingga 10 peratus itu akan diperincikan dalam masa terdekat.

"Kita menggunakan konsep susah senang bersama dan pemberian rebat ini mampu memberikan tambahan kewangan kepada pembayar cukai.

"Selain itu, tiada penalti akan dikenakan untuk pemilik aset yang lewat membayar cukai pintu malah diberikan kemudahan bayaran ansuran.

"Walaupun hasil daripada cukai pintu berkurangan RM50 juta hingga RM100 juta namun ini simbolik kepada konsep susah senang bersama warga Wilayah Persekutuan," katanya.

Annuar berkata, apabila sudah disuntik vaksin kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan maka ia lebih cepat membantu warganya menjalani kehidupan lebih baik dengan terus mengamalkan norma baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 9:49 AM