DR Nazif Nor (kanan) bersama penerima vaksin yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin  di PPV WTC.
DR Nazif Nor (kanan) bersama penerima vaksin yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV WTC.
Oleh Suliati Asri


Bagi membendung penularan Covid-19 sekali gus membentuk imuniti berkelompok, kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Justeru, dalam usaha mencapai sasaran itu, banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka dan membabitkan pelbagai pihak dalam proses terbabit.

Rangkaian klinik swasta di bawah jenama U.n.i Klinik antara diberi tanggungjawab memberi suntikan vaksin kepada penerima vaksin di PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu kota.

Pemilik U.n.i Klinik Bandar Sri Sendayan, Dr Nazif Nor Rahim berkata, tanggungjawab dan peluang diberikan itu ibarat satu penghargaan buat 26 daripada 35 U.n.i Klinik di seluruh negara.

Menurutnya, terbabit dalam Pick memberi pengalaman baru kerana tanggungjawab digalas bukan hanya memberikan suntikan, tetapi turut membabitkan keseluruhan operasi termasuk pengambilan vaksin di hospital.

"Selain diberi tanggungjawab memberikan vaksin di WTC, kami perlu mengambil vaksin itu sendiri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum diiringi oleh pihak berkuasa ke PPV.

"Di PPV pula, U.n.i Klinik bertugas di pusat pemeriksaan untuk penerima vaksin seterusnya memberikan vaksin kepada penerima.

"Proses ini sememangnya satu pengalaman berharga buat kami," katanya yang dipertanggungjawabkan memberikan vaksin jenis AstraZeneca kepada penerima.

Ditanya mengenai sambutan orang ramai terhadap program vaksinasi itu, Dr Nazif Nor berkata, walaupun ada sesetengah masyarakat mempunyai kerisauan untuk divaksin namun sambutan tetap menggalakkan dari semua lapisan masyarakat dan peringkat umur.

"Peratus bilangan yang tidak hadir atau terpaksa ditolak disebabkan penyakit itu adalah rendah.

"Sambutan memang menggalakkan dan setiap hari ada peningkatan jumlah penerima vaksin yang kini mencecah 9,000 sehari hanya di WTC sahaja," katanya.

RANGKAIAN klinik swasta di bawah jenama  U.n.i Klinik diberi tanggungjawab memberi suntikan vaksin kepada penerima vaksin di PPV WTC.
RANGKAIAN klinik swasta di bawah jenama U.n.i Klinik diberi tanggungjawab memberi suntikan vaksin kepada penerima vaksin di PPV WTC.

Walaupun Pick ini mendapat sambutan menggalakkan, tetapi masih ada yang ragu untuk mengambil vaksin kerana risau terhadap kesan sampingannya.

Namun, kata Dr Nazif Nor kesan sampingan atau bahaya Covid-19 itu sendiri jauh lebih bahaya daripada kesan sampingan disebabkan menerima vaksin.

"Saya faham ada segelintir yang risau mengenai kesan sampingan tetapi kita kena timbang balik. Jika kita sendiri dijangkiti Covid-19, risiko untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) atau risiko kematian jauh lebih tinggi daripada risiko vaksin itu sendiri.

"Walaupun sudah mengambil vaksin, kita masih lagi boleh dijangkiti Covid-19. Namun kita boleh mengurangkan kesan atau komplikasi daripada jangkitan Covid-19 itu sendiri.

"Jadi, saya memang sarankan dan galakkan semua orang mendapatkan vaksin supaya sasaran Pick untuk membentuk imuniti berkelompok tercapai, sekali gus kita tidak perlu lagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Dengan keadaan Covid-19 di negara ini, Dr Nazif Nor berharap lebih ramai rakyat tampil mendapatkan vaksin.

"Saya berharap negara boleh mendapatkan bekalan vaksin yang banyak dalam masa yang cepat supaya kita dapat memberikan suntikan ini dengan lebih banyak dan cepat pada rakyat kita.

"Saya percaya ramai yang ingin mendapatkan suntikan segera. Oleh itu, doktor atau mana-mana klinik kesihatan sama ada kerajaan mahupun swasta dapat berganding bahu dan memberikan vaksin.

"Saya juga berharap program ini dapat dikembangkan lagi dan mungkin U.n.i Klinik boleh pergi lebih jauh termasuk ke kawasan pedalaman seterusnya," katanya.

Dr Nazif Nor antara 35 usahawan profesional khususnya dalam bidang perubatan yang memiliki klinik sendiri dengan jenama U.n.i Klinik, menerusi Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menurutnya, kemudahan yang disediakan MARA berjaya membantu merealisasikan impiannya memiliki klinik sendiri.

"Menerusi program ini, saya berpeluang meneroka ilmu baru ke arah usahawan profesional doktor yang dilengkapi dengan skil keusahawanan dan bukan sekadar merawat pesakit sahaja.

"MARA tidak hanya menyediakan kemudahan pembiayaan dan pembelian barangan serta mesin di klinik, tetapi pelbagai bantuan lain termasuk kursus pemasaran dan sokongan serta bimbingan dalam perniagaan hingga kini," katanya yang sebelum ini pernah bertugas di HKL, Hospital Kemaman dan klinik perubatan swasta.

Mengulas mengenai program ProSPEC, Dr Nazif Nor berkata, menerusi kursus sembilan hari yang diikuti, ia bukan saja berpeluang berjumpa pemilik U.n.i Klinik lain tetapi boleh bertukar idea sesama sendiri, mempelajari asas keusahawanan, cara membuka syarikat, kewangan dan perundangan. "Program ini saya lihat semakin berkembang kerana kini sudah ada 35 rangkaian klinik, 10 farmasi dan akan datang ada rangkaian klinik pergigian di bawah ProSPEC.

"Oleh itu saya berharap, selepas ini kami boleh bergabung di bawah satu jenama besar dan memiliki lebih banyak klinik, farmasi seterusnya mampu membina hospital sendiri," katanya.

U.n.i Klinik milik Dr Nazif Nor yang terletak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah rawatan perubatan, rawatan sakit ibu dan anak, X-ray, ultrasound, ujian darah, makmal mini, bayi jaundis, pemeriksaan kesihatan, doktor kesihatan pekerjaan, program kesihatan untuk syarikat dan fisioterapi.

Sudah beroperasi selama dua tahun, kata Dr Nazif Nor bersyukur kerana impiannya memiliki klinik sendiri termakbul dengan bantuan dari MARA terutama MARA Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 9:08 AM