Mohd Amin Jalil


Seremban: Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 88 peratus rakyat negara ini bersetuju dan bersedia menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Adham Baba, berkata, hanya terdapat sekitar 10 peratus yang tidak bersetuju manakala dua peratus lagi menunjukkan tidak pasti.

Katanya, dapatan kajian itu diperoleh KKM berdasarkan maklum balas 15,000 responden, pada bulan lalu.

"Kajian kita (KKM) yang dijalankan pada bulan lalu terhadap 15,000 responden mendapati 88 peratus rakyat setuju menerima suntikan vaksin manakala hanya 10 peratus tidak bersetuju.

"Manakala baki dua peratus lagi membuat keputusan tidak pasti atas sebab tertentu antaranya tentang keselamatan selain menunggu orang lain membuat suntikan terlebih dulu," katanya selepas membuat lawatan ke Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) COVID-19, AMC Medical Clinic, di Seremban 2, di sini, tadi.

Dr Adham mengulas mengenai kemungkinan wujud sindrom takut dalam kalangan masyarakat terhadap suntikan vaksin susulan terdapat laporan di beberapa negeri menunjukkan masih ramai individu atau penerima tidak hadir janji temu yang sudah ditetapkan.

Situasi itu mengganggu kelancaran kakitangan KKM dalam melaksanakan tugas mereka bagi menjayakan PICK yang sudah memasuki fasa kedua ketika ini.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara, berkata pembabitan hospital dan klinik swasta sebagai PPV dapat melancarkan lagi PICK.

Beliau berkata, terdapat sebanyak 2,444 daripada 8,000 klinik di seluruh negara sudah bersedia melaksanakan program vaksinasi berkenaan.

"Setakat ini klinik swasta yang sedia melaksanakan program vaksinasi ini ialah di Johor sebanyak 256, Kedah (102), Kelantan (44), Melaka (50), Negeri Sembilan (76), Pahang (71), Perak (137), Perlis (10), Pulau Pinang (109), Sabah (105), Sarawak (94), Selangor (559), Terengganu (45), Kuala Lumpur (260), Labuan (4) dan Putrajaya (12).

DATUK Seri Dr Adham Baba pada sidang media selepas Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di AMC Medical Clinic, Seremban 2. FOTO Azrul Edham Aminuddin
DATUK Seri Dr Adham Baba pada sidang media selepas Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di AMC Medical Clinic, Seremban 2. FOTO Azrul Edham Aminuddin

"Malahan, setakat ini sebanyak 1,934 klinik sudah menandatangani perjanjian," katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, PICK berjalan seperti dijadualkan dan terdapat sebanyak 3.52 juta dos vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca, tiba pada bulan ini yang akan dimanfaatkan seramai 1.25 juta penerima.

"Program vaksinasi membabitkan kakitangan kedutaan juga sudah bermula minggu ini dan seramai 4,000 kakitangan serta keluarga mereka akan menerima suntikan di kedutaan masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:56 PM