ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Serdang. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Serdang. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kegiatan dua lelaki memproses dadah dalam kondominium sebelum mengedarnya, terbongkar selepas kediaman itu diserbu polis polis, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya menggerakkan Operasi Catrina dan menyerbu kondominium itu yang terletak di Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 9 malam.

"Dalam operasi itu, kami menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 64 tahun yang menjadikan kondominium berkenaan sebagai stor dan tempat memproses cecair dadah.

"Pemeriksaan lanjut menemui 309 botol cecair methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 114,750 milimeter dianggarkan bernilai RM40,170 dan serbuk MDMA seberat 5,510 gram bernilai RM275,500.

"Selain itu, kami turut merampas 120 pil ekstasi seberat 48.66 gram bernilai RM2,430, 40 pil erimin 5 seberat 10.10 gram bernilai RM757, ganja seberat 38.30 gram bernilai RM1,915 serta ketamin seberat 83.4 gram bernilai RM12,510," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shokri berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah itu mencecah RM333,282 dan mampu menampung kegunaan 14,345 penagih dadah.

"Siasatan mendapati sindiket itu sudah beroperasi sejak sebulan lalu dan memilih kediaman itu yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, bekalan dadah itu dipercayai dijual kepada pelanggan pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 Januari lalu hingga 9 Januari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kami meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat aktiviti atau kegiatan penyalahgunaan dadah melalui aplikasi WhatsApp 012-2087222 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 3:53 PM