BANGKAI ikan lumba-lumba dijumpai terdampar di Pantai Rombang, Pantai Puteri. FOTO Hassan Omar
BANGKAI ikan lumba-lumba dijumpai terdampar di Pantai Rombang, Pantai Puteri. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Ikan lumba-lumba yang dijumpai terdampar di Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling, dekat sini, petang semalam, dipercayai mati akibat tersangkut pada jaring.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Solehon berkata, siasatan pegawai jabatan itu petang semalam mendapati ada kesan kecederaan pada kepala ikan itu yang dipercayai akibat terkena jaring atau pukat nelayan.

Katanya, ikan lumba-lumba spesies 'Sousa chinensis' itu lebih dikenali dalam kalangan pengkaji sebagai 'Indo-Pacific humpback dolphin'.

"Siasatan mengesahkan ikan itu berusia kira-kira 15 tahun dengan berat 250 kilogram dan panjang 2.55 meter serta ada kesan kecederaan pada kepalanya, besar kemungkinan tersangkut pada jaring.

"Selat Melaka adalah laluan atau perairan populasi ikan lumba-lumba dan lazimnya ia berenang dalam kumpulan antara lima hingga 20 ekor," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, spesis itu boleh dikesan dalam jarak lima batu nautika dari pantai dan mempunyai jangka hayat 30 tahun.

"Spesis berkenaan dilindungi mengikut Akta Perikanan 1985 dan sesiapa yang menangkapnya boleh dikenakan tindakan mengikut akta berkenaan.

"Jabatan ini amat berharap orang ramai, terutama nelayan mampu memberikan kerjasama dalam usaha melindungi spesies itu daripada pupus," katanya.

Beliau berkata, bangkai ikan itu ditanam di lokasi yang dirahsiakan bagi mengelakkan pihak tertentu mencuba mengambil organ dalamannya.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, ikan itu dijumpai dua nelayan, Muhammad Saiful Safuan Mad Aris, 25, dan Rahmad Khamis, 37, ketika menolak perahu turun ke laut.

Mereka menarik bangkai ikan itu jauh dari gigi pantai bagi mengelakkannya dihanyutkan ombak dan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 10:25 AM