Orang ramai yang terdiri daripada barisan hadapan, warga emas dan yang berisiko tinggi dalam kawasan parlimen Batang Sadong mendaftar bagi mendapat suntikan vaksin Covid-19 dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah Simunjan hari ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Orang ramai yang terdiri daripada barisan hadapan, warga emas dan yang berisiko tinggi dalam kawasan parlimen Batang Sadong mendaftar bagi mendapat suntikan vaksin Covid-19 dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah Simunjan hari ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Simunjan: Pemberian dos pertama vaksin Covid-19 kepada barisan hadapan, warga emas dan yang berisiko tinggi dalam kawasan parlimen Batang Sadong bermula hari ini hingga 19 Jun ini.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, dua pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka di Dewan Mesra Simunjan dan RTC Munggu Lalang, Gedong.

Menurutnya, bagi penerima suntikan vaksin dari Sadong Jaya, PPV mereka adalah di Kompleks Sukan Asajaya.

"Sejumlah 3,000 dos vaksin disediakan bagi daerah Simunjan dengan sasaran 600 penerima sehari di Dewan Mesra Simunjan, manakala 250 penerima lagi di RTC Munggu Lalang, Gedong.

"Kita meminta penduduk Batang Sadong yang sudah ditentukan tarikh dan masa temu janji untuk hadir mengambil suntikan di PPV yang ditentukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah percaya dengan dakwaan tidak benar mengenai vaksin yang digembar-gembur pihak tertentu kerana vaksin yang dibeli diuji secara klinikal dan selamat.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengambil sarapan dan membawa rekod kesihatan atau senarai ubat yang diambil pada masa kini untuk perhatian petugas kesihatan.

"Saya juga memohon semua penerima suntikan vaksin untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Gunalah pelitup muka sebaik keluar rumah, elak berada di tempat yang sesak dan sempit serta elak juga daripada berbual dan bersembang dalam jarak yang dekat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 3:19 PM