POLIS menafikan penularan video dan rakaman suara wanita yang tular mengatakan berlaku serangan buaya di Sungai Gedong yang mengakibatkan budak putus kaki. FOTO Ihsan Pembaca
POLIS menafikan penularan video dan rakaman suara wanita yang tular mengatakan berlaku serangan buaya di Sungai Gedong yang mengakibatkan budak putus kaki. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


POLIS menafikan penularan video dan rakaman suara wanita yang tular sejak semalam, mendakwa berlaku serangan buaya di Sungai Gedong di Bagan Serai sehingga mengakibatkan budak putus kaki.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian seperti yang tular di media sosial itu.

Menurutnya, polis sudah membuat siasatan dan mendapati video dan lokasi itu bukan berlaku di Sungai Gedong seperti dimaklumkan dalam rakaman suara wanita dalam video berkenaan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung rakaman video dan suara wanita yang tular itu dan sekiranya penularan itu memberi kesan buruk terhadap masyarakat, kami tidak teragak-agak untuk mendakwa pelaku.

“Mereka boleh disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Akta Hasutan,” katanya dalam satu sidang media di Bagan Serai, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat kerana tiada laporan polis berhubung berita palsu berkenaan dibuat, namun pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi yang ada dan tidak menyebarkan maklumat yang boleh mencetuskan huru-hara dalam kalangan penduduk,” katanya.

Sejak semalam tersebar satu rakaman video tanpa suara latar memaparkan buaya menggigit kaki kanak-kanak.

Menerusi penyebaran video itu, ada pula satu rakaman suara wanita yang tular mendakwa serangan itu berlaku di Sungai Gedong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 4:11 PM