Noor Hidayah Tanzizi


Pasir Salak: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercadang mengambil tindakan kepada pihak yang cuba menjatuhkan imejnya susulan insiden kemalangan tren LRT laluan Kelana Jaya di KLCC, Kuala Lumpur.

Tajuddin berkata, tindakan pihak berkenaan yang menggambarkan beliau seolah-olah tidak prihatin, tidak sensitif selain ada pihak yang mendakwanya rasis kerana mempersoalkan wartawan bukan warga negara disifatkan sebagai penghinaan.

"Saya akan mengenal pasti siapa yang beria hingga saya dimalukan seluruh negara, (digambarkan sebagai) seorang pengerusi yang tidak layak jadi pengerusi, seorang tokoh yang rasis, tidak sensitif dan tidak ikut prosedur operasi standard (SOP).

"Ini penghinaan terhadap saya dan akan ambil tindakan mengikut undang-undang," katanya pada sidang media selepas penyerahan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada 3,500 penerima Parlimen Pasir Salak secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak di Chenderong Balai, di sini, hari ini.

Menurutnya, ia juga dilihat sebagai mainan portal yang disifatkan suka menimbulkan kontroversi hingga ramai orang mempercayainya tanpa usul periksa terlebih dulu.

"Di mana yang dikatakan tidak prihatin dan tidak sensitif dengan kejadian itu. Adakah disebabkan sebut ini berlaku (kerana) dua tren bercium itu diambil bahan (mengatakan) saya tidak sensitif.

"Mula-mula video (sidang media) saya cakap kita sedih dengan apa yang berlaku. Saya juga kata (sebelum ini) sudah bincang dengan pengurusan kita akan bantu mangsa, bantu kos mangsa yang masuk hospital dan bantuan khas RM1,000," katanya.

TAJUDDIN, gambar fail. FOTO NSTP
TAJUDDIN, gambar fail. FOTO NSTP

Sementara itu, mengenai perlucutan jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Tajudin berkata, beliau tidak berdendam dan tidak terkesan dengan perkara itu.

"Kenapa mahu dendam. Pegangan saya berani kerana benar. Dalam politik saya sudah melalui pelbagai pahit getir termasuk pernah dipecat dari Umno pada 1995. (Saya) tidak terkesan dan tiada salah. Masa akan menentukannya dan kebenaran akan terserlah," katanya.

Pada 26 Mei lalu media melaporkan, Prasarana menamatkan perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 12:16 PM