Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Tajuddin tiba di situ pada 4.45 menaiki kenderaan Mercedes-Benz dan difahamkan, beliau memberi keterangan kepada polis kerana didakwa tidak memakai pelitup muka ketika sidang media mengenai insiden kemalangan tren transit aliran ringan (LRT) Selasa lalu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selesai memberi keterangan berhubung ciapannya mengenai Tajuddin yang memakai pelindung muka tanpa pelitup muka dalam sidang media itu.

Sebelum ini, video rakaman Tajuddin yang didakwa tidak mematuhi SOP ketika mengadakan sidang media mengenai insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT Kuala Lumpur, Selasa lalu tular di media sosial.

Pada sidang media itu, Tajuddin dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021.

Tajuddin Abdul Rahman ketika hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Tajuddin Abdul Rahman ketika hadir memberi keterangan di IPD Dang Wangi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 5:35 PM