Sri Ayu Kartika

Kuala Lumpur: Prasarana Berhad menyangkal laporan ibu pejabatnya diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dakwaan Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman cuba menggunakan autoritinya untuk melakukan perubahan signifikan dalam syarikat itu.

Timbalan Ketua Komunikasi dan Pegawai Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Rafizah Amran berkata, pihaknya menerima kehadiran SPRM ke ibu pejabat Prasarana pada 9.30 pagi tadi.

Katanya, pegawai SPRM datang ke pejabat untuk membuat siasatan dan bukan menyerbu ibu pejabat Prasarana seperti yang dilaporkan beberapa portal berita.

"Mereka (SPRM) bukan menyerbu, mereka datang membuat siasatan mengenai dakwaan negatif terhadap Prasarana.

"Saya juga salah seorang pegawai yang bercakap dengan pegawai SPRM dan tidak ada sesiapa ditahan, tiada laptop atau pun telefon bimbit disita," katanya pada taklimat media khas Prasarana di sini, hari ini yang turut dihadiri Tajuddin.

Rafiza berkata, Prasarana akan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap prosedur siasatan yang dijalankan SPRM itu.

Beliau berkata, SPRM melakukan penyiasatan untuk memastikan berita negatif mengenai Prasarana yang dilaporkan adalah benar atau tidak.

"Sama ada ia akan disambung atau tidak kita dengan berbesar hati akan membantu mereka dalam siasatan, jadi kita akan berikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.

"Kami menegaskan tiada sebarang penahanan dibuat dan barangan disita, namun ada beberapa dokumen yang ambil kerana ia perlukan masa untuk diteliti.

"Kita puji tindakan SPRM untuk siasat dan melaluinya kita boleh membersihkan semula nama Prasarana," katanya.

DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman mengadakan sidang media khas mengenai isu semasa Prasarana di Bangsar, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman mengadakan sidang media khas mengenai isu semasa Prasarana di Bangsar, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Terdahulu, portal berita melaporkan Tajuddin iaitu anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Pasir Salak, menggunakan autoritinya untuk mengubah beberapa perkara dalam syarikat itu.

Beberapa perubahan dikatakan telah menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan dan hala tuju syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 7:36 PM