Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap isu integriti membabitkan agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diterjemahkan melalui pembaharuan secara menyeluruh.

Itu antara saranan pelbagai pihak dalam usaha menaikkan semula nama PDRM yang sering menjadi tomahan dan serangan berterusan di media sosial sejak kebelakangan ini.

Malah, pendedahan serta kelemahan salah laku segelintir anggota PDRM melalui akaun Telegram 'edisi siasat' setiap hari jelas mencalar reputasi PDRM di mata rakyat.

Penganalisis jenayah yang juga pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, pendedahan salah laku anggota dan pegawai tertinggi PDRM di media sosial boleh menghakis kepercayaan rakyat terutama golongan muda kepada PDRM.

Beliau berkata, isu integriti membabitkan rasuah, salah guna kuasa, ditahan atas jenayah dadah dan mengunjungi pusat hiburan boleh mencemarkan imej PDRM.

Menurutnya, rakyat ketika ini mengharapkan pelantikan anggota dan pegawai PDRM berintegriti, bebas rasuah serta terhindar daripada sebarang salah laku.

"Adalah wajar perubahan drastik dilakukan melalui pelantikan pegawai PDRM 'bersih' di semua peringkat daerah, negeri dan pusat.

"Tiba masanya PDRM diberikan 'imej baharu' membabitkan isu integriti termasuk melantik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai bakal Ketua Polis Negara (KPN) seterusnya.

"Saya amat bersetuju dengan saranan ramai pihak supaya melantik Datuk Ayob Khan sebagai Ketua Polis Negara seterusnya. Ini kerana pelantikan pegawai kanan polis yang kuat menentang rasuah dan salah laku polis amat diperlukan bagi mengubah landskap polis," katanya.

Beliau mengulas saranan pendakwah bebas yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Engku Ahmad Fadzil Engku Ali yang meminta Perdana Menteri melantik individu berintegriti mengetuai badan itu.

Menurutnya, pemilihan Ayob Khan adalah keputusan popular dalam kalangan rakyat dan raja seterusnya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada PDRM.

Shahul berkata, sifar salah laku dan rasuah perlu menjadi sasaran utama PDRM bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

"Saya tidak pasti masih wujudkah hubungan antara pegawai kanan polis dan kartel sindiket seperti didedahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini. Namun ia perlu dihapuskan," katanya,

Sementara itu penganalisis jenayah terkenal, Kamal Affandi Hashim berkata, pihak pengurusan tertinggi PDRM perlu mengkaji populariti Ayob Khan di media sosial untuk dijadikan 'formula' bagi meningkatkan imej PDRM di mata rakyat.

Katanya, PDRM selama ini sudah melakukan yang terbaik untuk menaikkan nama agensi berkenaan termasuk melalui peranan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang gigih memperjuangkan isu integriti PDRM.

"Tapisan ketat dan keselamatan rapi terutama ketika pengambilan pegawai kanan bagi mengisi jawatan berisiko tinggi perlu dipertingkatkan.

"Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah perlu diberikan ruang untuk melakukan perubahan itu. Beri mereka masa dan saya yakin banyak perubahan mampu dilakukan untuk kebaikan PDRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 5:03 PM