Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 234 pegawai dan anggota polis yang didapati bersalah terbabit dalam kesalahan jenayah dan rasuah sudah dijatuhkan hukum sejak 2016 hingga tahun ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zamri Yahya berkata, jumlah itu membabitkan seramai 29 pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas manakala 205 anggota pelbagai pangkat.

Menurutnya, kebanyakan mereka dikenakan tindakan buang kerja selain ada yang sedang menjalani hukuman.

"Seramai 160 pegawai dan anggota terbabit dalam kes jenayah manakala selebihnya didapati bersalah selepas terbabit dalam kes rasuah.

"JIPS sentiasa memandang serius dalam menitikberatkan soal integriti dan salah laku mana-mana pegawai atau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati bersalah dalam jenayah mahupun rasuah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Zamri berkata, selain kes rasuah dan jenayah, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota yang terbabit dalam kesalahan tatatertib seperti salah laku, lewat menyiapkan kertas siasatan serta kesalahan lain.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Sejak 2016 hingga 2020, JIPS sudah mengambil tindakan terhadap 12,612 orang membabitkan 1,563 pegawai dan 11,049 anggota.

"Mereka yang terbabit dalam kesalahan ini menerima hukuman turun pangkat, tahan kerja dan dipindahkan ke penugasan lain dari penugasan asal," katanya.

Beliau berkata, asas pasukan PDRM itu sendiri adalah pelindung kepada masyarakat dan JIPS sentiasa komited dalam pelaksanaan penugasannya bagi memastikan keyakinan dan rasa hormat masyarakat kepada polis dapat dikembalikan seperti beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 4:06 PM