KANAK-KANAK melihat bangkai anak ikan lumba-lumba jantan yang terdampar di Pantai Puteri, Melaka, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
KANAK-KANAK melihat bangkai anak ikan lumba-lumba jantan yang terdampar di Pantai Puteri, Melaka, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi


BANGKAI seekor anak ikan lumba-lumba jantan seberat 35 kilogram ditemui terdampar di pantai Tanah Merah Jaya, Pantai Puteri, Melaka, hari ini.

Kejadian pada 4.30 petang itu disedari pemancing selepas bangkai ikan lumba-lumba spesis Neophocaena Phocaenoides itu dipukul ombak ke pantai.

Penduduk, Azmi Leman, 50, berkata penemuan bangkai mamalia berkenaan bukan yang pertama di kawasan itu kerana pernah beberapa kali terdampar, namun dalam tempoh jangka masa yang lama.

“Sebaik melihat objek hitam pemancing bergegas ke arahnya dan terkejut apabila mendapati ia adalah bangkai anak ikan lumba-lumba.

“Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan Negeri untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

PENDUDUK mengangkat bangkai anak ikan lumba-lumba jantan seberat 35 kilogram. FOTO Ihsan Pembaca
PENDUDUK mengangkat bangkai anak ikan lumba-lumba jantan seberat 35 kilogram. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perikanan Melaka Doreen Wee Siew Leen berkata, mamalia terbabit daripada spesies terancam dan sememangnya terdapat di perairan negara.

“Ia dikategorikan sebagai masih kecil kerana ukurannya hanya 1.4 meter dan pemeriksaan fizikal dipercayai ikan lumba-lumba itu mati akibat tekanan (stress) serta kurang zat.

“Bangkai ikan ini akan dibekukan sebelum dihantar dan diawet di Pusat Penyelidikan Penyu Dan Ekosistem Marin di Rantau Abang, Terengganu bagi tujuan penyelidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 9:51 PM