DADAH dipercayai heroin yang ditemui dalam bampar hadapan sebuah kereta Perodua Myvi. FOTO Ihsan Polis
DADAH dipercayai heroin yang ditemui dalam bampar hadapan sebuah kereta Perodua Myvi. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dalam dua serbuan berasingan Operasi Tapis di Jalan Pandan Indah, di sini, dan Batu Tanah, Gombak, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah, 12.40 tengah malam, kelmarin.

"Hasil soal siasat dilakukan, kami melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang diparkir di kawasan perumahan terbabit.

"Pemeriksaan dilakukan menemui dadah disyaki jenis heroin seberat 830 gram dianggarkan bernilai RM29,050 yang disorok di dalam bahagian bumper (bampar) hadapan kereta itu.

"Soal siasat dilakukan membawa kepada serbuan kedua jam 3.45 petang, hari sama, di sebuah bengkel di kawasan Batu Tanah, Gombak dan menahan dua lelaki masing-masing berusia 39 dan 40 tahun yang dipercayai mempunyai rangkaian dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, semakan mendapati semua suspek mempunyai pelbagai rekod atas kesalahan dadah dan jenayah.

"Ujian saringan awal kencing dilakukan mendapati dapati dua daripada tiga suspek terbabit positif dadah jenis methaphetamin.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 16 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 7:15 PM