Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Isu kronik membelenggu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan isu kartel dalam pasukan itu dapat diatasi dengan usaha yang lebih konstruktif dan kolektif pucuk pimpinan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata. usaha lebih konstruktif dan kolektif membabitkan pucuk pimpinan PDRM yang mana JIPS sebagai peneraju menguatkuasakan pelaksanaan inisiatif anti rasuah, tadbir urus dan integriti di bawah platform Jawatankerja Anti Rasuah dan Plan Anti Rasuah PDRM 2020 - 2024.

Menurutnya, sekiranya segala inisiatif ini dijalankan secara berterusan dan bersungguh-sungguh mengikut garis masa ditetapkan, ia akan berjaya dilaksanakan.

"Insya-Allah PDRM akan berubah ke arah yang lebih baik di masa hadapan.

ZAMRI. FOTO Aziah Azmee
ZAMRI. FOTO Aziah Azmee

"Mengikut kefahaman saya, kartel ini membabitkan pegawai pegawai muda yang bercita-cita tinggi untuk naik pangkat dan menjadi pemimpin PDRM di masa hadapan," katanya dalam wawancara bersama Harian Metro, di sini.

Zamri berkata, beliau yakin dengan pucuk pimpinan tertinggi PDRM seperti yang terdahulu juga tidak akan membiarkan PDRM dikuasai anasir tidak sihat.

"Maka adalah menjadi amanah dan tanggungjawab pucuk pimpinan untuk mengenal pasti dan mempersiapkan barisan pelapis terdiri daripada pegawai yang berwibawa, beramanah, berwawasan dan mempunyai semangat yang tinggi untuk berkhidmat bagi menerajui PDRM seterusnya.

"Jika ini dapat dilaksanakan maka segala isu isu kronik yang membelenggu PDRM selama ini akan dapat diatasi.

"Seterusnya mengupayakan PDRM untuk berfungsi secara lebih cekap dan berkesan sebagai agensi penguat kuasa undang-undang yang utama di negara ini dan kekal relevan sebagai pelindung masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:11 PM