Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pegawai polis yang direman selepas disyaki merogol seorang ibu tunggal di biliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan, Sabtu lalu akan ditahan kerja sebaik dituduh di mahkamah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku dan menyifatkan kejadian itu disebabkan kegagalan suspek yang sukar mengawal diri meskipun tertakluk dengan peraturan dan arahan bagi mengekang salah laku.

"Kita akan tuduh dia di mahkamah dan sebaik dituduh, dia akan ditahan kerja malah boleh dibuang kerja jika disabitkan kesalahan itu.

"Tindakan diambil ini bersesuaian ke atas mereka yang terus melanggar arahan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan seorang pegawai polis berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki merogol ibu tunggal berusia 27 tahun pada 3 petang, Sabtu lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai aduan salah laku serta salah guna kuasa membabitkan bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh, Zamri berkata, siasatan mengenainya masih dijalankan, manakala Fisol sudah ditukarkan ke Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya di Bukit Aman. FOTO AZIAH AZMEE
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya di Bukit Aman. FOTO AZIAH AZMEE

Menurutnya, siasatan turut merangkumi pihak yang berdamping pegawai itu, di mana dikatakan lelaki itu ada memiliki rekod tidak baik berkaitan jenayah dan sebagainya.

"Jika terbukti beliau ada melakukan kesalahan itu kita akan ambil tindakan kerana terbabit dalam pergaulan dengan elemen tidak diingini dalam pasukan," katanya.

Berita berkaitan

Pegawai polis didakwa rogol ibu tunggal di bilik IPD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 2:33 PM