Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Ketua Polis Selangor ke-31, Datuk Noor Azam Jamaludin akan bersara wajib bermula esok selepas memegang jawatan itu hampir dua tahun.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, jawatan Noor Azam akan dipangku buat sementara oleh Timbalannya, Datuk Arjunaidi Mohamed.

"Ketua Polis Selangor yang baharu belum diputuskan dan akan diumumkan secara rasmi oleh Bukit Aman apabila sudah ada penyandangnya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Noor Azam kepada Arjunaidi di Dewan Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Noor Azam berkata, beliau akan menghabiskan masa bersama keluarga dan melakukan aktiviti digemarinya.

"Hari ini, genap satu tahun, 10 bulan 10 hari saya diamanahkan oleh pucuk pimpinan pasukan untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Selangor.

"Ini jawatan yang terakhir saya, sebelum bersara dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas berkhidmat selama 33 tahun, lapan bulan sembilan hari.

"Saya mahu ambil rehat yang panjang dan memberikan fokus kepada keluarga terutamanya cucu serta aktiviti yang saya ingin lakukan selama ini iaitu bermain alat muzik seperti gitar, piano serta ukelele," katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada Arjunaidi serta seluruh pegawai dan anggota polis Kontinjen Selangor yang banyak membantu beliau sepanjang menerajui Selangor.

ZAMRI (tengah) berbual bersama Arjunaidi (kanan) dan Noor Azam pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. FOTO Muhd Asyraf Sawal
ZAMRI (tengah) berbual bersama Arjunaidi (kanan) dan Noor Azam pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. FOTO Muhd Asyraf Sawal

"Selangor adalah kontinjen paling aktif, tidak kira isu jenayah, isu air malah kebanyakan isu di Selangor adalah isu bersifat nasional.

"Terima kasih terhadap semua pegawai saya yang memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada saya semasa menjawat jawatan Ketua Polis Selangor termasuk Datuk Arjunaidi, pengalaman yang dimiliki selama enam tahun di Petaling Jaya banyak membantu saya dalam tugasan.

"Alhamdulillah, kita juga banyak menjalankan hubungan baik dengan masyarakat di mana semua polis di setiap daerah akan mendekati dan mendapatkan maklumat dalam usaha membanteras jenayah di Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 2:46 PM