FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang sepatutnya dijadualkan pada 23 hingga 27 Ogos depan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad bagaimanapun berkata, JAIS akan melaksanakan kaedah pentaksiran baharu yang setara dan seimbang sebagai ganti kepada peperiksaan PSRA.

Katanya, kaedah ini sesuai dengan syarat dan kriteria ditetapkan bagi pemilihan pelajar untuk ke Tingkatan 1 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) sesi kemasukan tahun 2022.

"Keputusan pembatalan peperiksaan PSRA dibuat berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara dan trend semasa penularan, peningkatan jangkitan

dan jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor yang meningkat tinggi.

"Situasi membimbangkan dan tidak menentu sangat memerlukan usaha serta inisiatif JAIS bagi memastikan kesan Covid-19 di Selangor tidak menjadi sebab yang boleh menggugat keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan pelajar, guru, petugas peperiksaan, ibu bapa dan seterusnya masyarakat umum.

"Dalam masa yang sama, keputusan ini akan turut membantu usaha berterusan semua pihak melandaikan lekuk penularan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS juga berpandangan bahawa pembelajaran formal yang tidak dapat dijalankan seperti biasa akan memberi impak yang besar terhadap kemampuan guru dan pelajar dalam menghadapi persediaan peperiksaan PSRA mengikut format dan protokol peperiksaan seperti lazimnya.

"Terima kasih kepada guru-guru sekolah rendah agama negeri Selangor yang mengambil pelbagai inisiatif dan kaedah yang bersesuaian dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran

(PdP) kepada anak didik semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Terima kasih juga kepada ibu bapa kerana bersama-sama JAIS dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 8:43 AM