HARIS (kiri) menyampaikan sijil kepada waris pada Majlis Pengisytiharan Keputusan PSRA Selangor. FOTO ihsan JAIS
HARIS (kiri) menyampaikan sijil kepada waris pada Majlis Pengisytiharan Keputusan PSRA Selangor. FOTO ihsan JAIS
Yusmizal Dolah Aling


PENCAPAIAN Peratus Kelulusan Keseluruhan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) Selangor tahun ini mencatatkan 92.9 peratus, meningkat 2.1 peratus, berbanding tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, 39,086 orang calon menduduki peperiksaan itu pada tahun ini dan 6,424 mendapat pangkat Mumtaz (cemerlang).

Katanya, 13,999 calon mendapat pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik), manakala pangkat Jayyid seramai 9,419 calon.

"Calon yang mendapat pangkat Maqbul (lulus) menurun 2.5 peratus iaitu 6,462 calon berbanding 7,257 calon pada tahun lalu.

"Bilangan calon yang mendapat pangkat Musaadah (perlu bimbingan) menurun iaitu 2,775 orang berbanding 3,509 orang pada tahun sebelumnya," katanya pada Majlis Pengisytiharan Keputusan PSRA 2018 di Sekolah Rendah Agama Bandar Kinrara 5, Petaling, hari ini.

Menurutnya, pencapaian PSRA bagi Ujian Tilawah dan Hafazan (UTH) ialah 99.8 peratus pencapaian lulus seperti tahun sebelumnya.

Manakala bagi kertas Akhlak dan Sirah mencatat 91.1 peratus calon lulus, kertas Bahasa Arab, (96.2 peratus), kertas Jawi, Imlak dan Khat (96.9 peratus), Tauhid dan Fekah (90.9 peratus) dan bagi kertas Tajwid, 87.5 peratus calon lulus.

Haris berkata, keseluruhannya peratusan lulus mencatat keputusan memberansangkan dan pihaknya berharap ia akan dapat ditingkatkan pada masa depan.

"Kita perlu pertahankan kecemerlangan ini kerana apa yang penting kita tahu bahawa pelajar Sekolah Rendah Agama di Selangor ini dapat menguasai ilmu dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 8:40 PM